Mail05.transformed
JURULATIH Kuantan FA, Ismail Zakaria berkata ramai pemain tonggaknya mula hilang sabar sudah meninggalkan pasukan dan membawa haluan masing-masing. - Foto Ramdzan Masiam

'Tolong selamatkan kami!'

sukanteam@nstp.com.my

KUALA TERENGGANU: "Selamatkan pemain dan pasukan kami daripada tutup kedai dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini," kata ketua jurulatih Kuantan FA, Ismail Zakaria.

Beliau berkata demikian selepas ramai pemain tonggaknya yang mulai hilang sabar sudah meninggalkan pasukan dan membawa haluan masing-masing selepas kecewa gaji mereka tidak dibayar hingga saat ini.

"Kini tidak sampai 20 pemain masih menjalani latihan bersama saya dan sebahagian besar mereka adalah pemain muda berbakat manakala tonggak utama sudah meninggalkan pasukan.

"Malah saya difahamkan ada lagi beberapa pemain yang akan turut serta meninggalkan pasukan.

"Saya bimbang jika situasi ini berterusan, pertemuan dengan Pulau Pinang pada 9 April ini tidak dapat dilangsungkan kerana mungkin hanya tinggal beberapa pemain saja.

"Oleh itu kami berharap dan memohon jasa baik pihak pengurusan supaya segera menyelesaikan masalah tunggakan gaji itu sekali gus pemain dapat memberi fokus 100 peratus bagi aksi selepas ini," kata Ismail.

Berdasarkan rekod, bukan hanya gaji pemain dan pegawai tidak dibayar bermula Januari lalu hingga kini, malah elaun yang sepatutnya diterima pemain Disember lalu juga tidak dibayar hingga kini.

Lebih menyedihkan pemain menyatakan pengurusan sudah berjanji lebih tujuh kali untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji, namun ia hanya tinggal janji.

Ismail berkata, hingga kini beliau masih boleh bersabar walaupun pengurusan terus berdiam diri.

"Tapi saya sedih kerana mereka menganiaya pemain dan jurulatih yang kini bagaikan hidup mengemis selepas tidak menerima gaji lebih tiga bulan lalu."

© New Straits Times Press (M) Bhd

11 dibaca
Berita Harian X