Whatsapp image 2018 04 03 at 8.58.03 pm.jpeg.transformed
MUHAMMAD Aliff Fitri Jefri (No 12) menjalani latihan sulung bersama TFC di Padang Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus. - Foto ihsan TFC

Tuah Aliff diserap ke skuad 'abang'

sukanteam@nstp.com.my

KUALA TERENGGANU: Pemain sayap Terengganu FC II (TFCII), Aliff Fitri Jefri mengakui bagaikan bermimpi selepas diserap masuk bagi memperkasakan pasukan 'abang', Terengganu FC (TFC) yang bersaing di Liga Super.

Pemain kelahiran Kampung Maras, Batu Rakit itu berkata, peluang yang hadir itu tidak mungkin dilepaskan dan akan bekerja keras merebut tempat dalam pasukan itu.

Bekas pemain Piala Presiden Terengganu berusia 22 tahun itu berkata, dia berterima kasih kepada ketua jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim yang memberi kepercayaan dan peluang kepadanya menyertai pasukan 'abang'.

"Semua ini mungkin rezeki saya bukan saja bermain di Liga Super, malah dapat menimba ilmu dengan jurulatih berpengalaman seperti Irfan dan sememangnya saya menanti detik ini.

"Jadi, saya tidak akan sia-siakan peluang keemasan ini dan akan bekerja keras bagi meningkatkan mutu permainan bersama TFC," katanya.

Dua lagi tonggak TFC II yang diserap masuk ke dalam pasukan TFC adalah Haidhir Suhaini dan pertukaran pemain import membabitkan Bruno Suzuki dengan pemain dari Korea Selatan, Lee Jun Hyeob.

Tiga tonggak TFC II itu juga mula menjalani latihan sulung di bawah kendalian Irfan di padang Kompleks Sukan Gong Badak, petang semalam.

Aliff berkata, dia akan berusaha bagi merebut tempat dalam skuad utama Penyu sekalipun sedar pasukan itu dibarisi pemain yang berkualiti dan berpengalaman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

11 dibaca
Berita Harian X