Sp060118kw005.jpg.transformed
KOGILESWARAN (tengah) tak sangka dipanggil sertai skuad Harimau Malaya. -Foto fail

Kogileswaran terkejut!

sukanteam@nstp.com.my

KUANTAN: Penyerang muda Pahang, R Kogileswaran terkejut apabila dipanggil menyertai skuad kebangsaan bagi persiapan menghadapi Lubnan dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 di Beirut, Selasa ini.  

Pemain berumur 20 tahun itu tidak menyangka ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengumumkan dia antara sembilan pemain yang dipanggil menyertai pasukan.   

"Apabila dihubungi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), saya terkejut. Ia peluang terbaik untuk membuktikan kemampuan bersama skuad senior.  

"Saya sememangnya tidak sangka akan menyarung jersi skuad Harimau Malaya selepas membantu skuad muda negara layak ke suku akhir Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Januari lalu.  

"Pengalaman bersama skuad bawah 23 tahun akan dimanfaatkan sekali gus membantu Harimau Malaya meraih keputusan positif," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.  

Kogileswaran turut berterima kasih kepada Cheng Hoe yang memilihnya dan sedia membalas kepercayaan yang diberikan jurulatih itu.

Selain Kogileswaran, Cheng Hoe turut memanggil Zaquan Adha Abd Radzak (Kuala Lumpur), Shahrel Fikri (PKNP FC), Jafri Firdaus Chew, Shahril Saari (PKNS FC), Nor Hakim Hassan, Nazirul Naim Che Hashim, Syazwan Zaipol (Perak) dan Syawal Nordin (Kedah).  

Cheng Hoe membuat keputusan itu selepas menggugurkan 14 pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dipanggil untuk aksi persahabatan menentang Mongolia dengan alasan mahu memenuhi kehendak peminat.  

Tindakan drastik itu diambil selepas beliau menerima kritikan hebat penyokong apabila Harimau Malaya yang dibarisi sembilan pemain JDT hanya mampu mencatat keputusan seri 2-2 dengan Mongolia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

11 dibaca
Berita Harian X